Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Polis berjaya menyelesaikan 22 kes dengan penahanan satu kumpulan yang aktif kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan sejak awal tahun ini di sekitar daerah Kota Setar dan Pendang dengan penahanan lima individu termasuk seorang wanita.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata penahanan dilakukan pada 29 Oktober lalu, melibatkan seorang lelaki disusuli empat lagi tangkapan.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 39 tahun ini menyasarkan rumah yang ditinggalkan kosong pada waktu siang. Sasaran mereka ini adalah rumah di taman perumahan yang lazimnya penghuni keluar bekerja pada waktu siang.”
“Pergerakan mereka ini dilakukan secara berkumpulan, dan menyasarkan barangan berharga yang pelbagai dalam premis serta kenderaan,” katanya.
Hasil tangkapan kumpulan dikenali “Geng Bri” itu katanya telah menemukan beberapa barangan yang dilaporkan hilang hasil jenayah yang dilakukan termasuk dua buah motosikal, dua buah kereta, sebuah van, penyedut hampagas (vaccum cleaner), sebuah pam air dan sebuah tangki sabun.
“Kenderaan yang dicuri itu dipercayai digunakan sebagai pengangkutan bagi tujuan melakukan jenayah pecah rumah ini.”
Polis turut merampas pelbagai alatan yang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah pecah rumah.
Kesemua suspek direman untuk membantu siasatan, dengan lima kertas siasatan telah mendapat arahan tuduh dari pihak Timbalan Pendakwaraya di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Sekyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.