Tumpuan :
Jenayah

Geng Bezza Eein aktif pecah rumah, kedai tumpas

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata menunjukkan kenderaan yang dirampas polis dalam serbuan berkenaan.

Oleh: Kadir Ediso

KUCHING: Satu kumpulan penjenayah dikenali Geng Bezza Eein yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan kedai di sekitar daerah Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Bau dan Sri Aman berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya lima individu dipercayai anggota kumpulan berkenaan.

Kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 36 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Matang, di sini pada 14 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, siasatan awal polis mendapati modus operandi yang digunakan kumpulan ini adalah menyasarkan kedai-kedai menjual alatan perkakasan dan telekomunikasi dengan kegiatan itu dilakukan pada awal pagi.

“Kumpulan itu menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang sering ditukar warna dan nombor pendaftaran kenderaan palsu setiap kali selepas melakukan aktiviti pecah rumah bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demiikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak di sini.

Dalam serbuan yang dilakukan, polis merampas dua buah kenderaan iaitu Perodua Bezza, Perodua Kancil dan sebuah motosikal dipercayai dicuri serta harta-harta yang diperoleh daripada kegiatan terbabit

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis percaya telah menyelesaikan sebanyak 27 kes pecah kedai di sekitar daerah Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Bau dan Sri Aman yang melibatkan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM288,872.80.

“Kesemua tangkapan direman tujuh hari sehingga 22 Disember 2023 untuk sisatan lanjut,” katanya.

Mancha berkata, hasil semakan terhadap kesemua suspek mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kes terbabit disiasat di bawah Sekyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini