comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gelang magnet ‘mummy’ penentu harga

GRO yang Atipsom JSJ Bukit Aman dalam Op Pintas. Gambar Kiri, gelang magnet yang dipercayai digunakan untuk menentukan nilai tips diberikan pelanggan kepada GRO. – Foto: Ihsan Polis

KUALA LUMPUR: Gelang magnet penentu ‘harga’. Itu taktik digunakan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Maju, Kuchai Lama di sini, dalam menyediakan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) kepada pengunjung yang datang berhibur.

Warna lampu iaitu biru, merah dan hijau pada gelang magnet adalah penentu tips yang diberikan kepada GRO oleh pelanggan iaitu serendah RM100 hingga RM1,000.

Bagaimanapun, pusat hiburan lima tingkat berkenaan diserbu Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam Op Pintas, tengah malam tadi.

 

Ketika serbuan 12.30 tengah malam itu, seorang wanita disyaki berperanan sebagai mummy (ibu ayam) cuba menyembunyikan gelang magnet, namun berjaya dikesan pegawai yang menjalankan operasi.

Wanita tempatan berusia lingkungan 50-an terbabit turut menafikan peranannya sebagai mummy dengan memberi alasan hanya datang berhibur bersama rakan.

Namun, soal siasat awal dilakukan terhadap GRO dan risikan yang dijalankan pihak D3 sejak beberapa minggu lalu mendapati wanita itu dipercayai mummy kerana dia yang menyediakan gelang berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, seramai 23 wanita warga asing iaitu 21 warga Thailand dan dua Indonesia disyaki GRO ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Turut ditahan seorang wanita tempatan dipercayai mummy selain dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh yang mengaku pekerja premis dengan kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 52 tahun.

“Kita turut memeriksa 38 orang pelanggan terdiri daripada 24 lelaki dan lima wanita tempatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman.

Katanya, siasatan mendapati premis menyediakan ruang pub dan karaoke itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.

Fadil berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini