comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gara-gara pelaburan saham tak wujud, wang hampir RM250,000 lesap 

Foto hiasan

MUAR: Seorang peniaga kerugian RM242,223.00 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Lelaki berusia 29 tahun itu dilaporkan terjerat dalam penipuan selepas mengenali seorang individu melalui aplikasi WhatsApp pada 28 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata melalui perkenalan itu, mangsa ditawarkan peluang pelaburan berkualiti tinggi dalam bidang saham.

Menurutnya, pada masa sama suspek turut menjanjikan pulangan komisyen lumayan sehingga 100 peratus daripada jumlah pelaburan dibuat.

“Malah, bagi meyakinkan mangsa dengan pelaburan itu, suspek turut meminta mangsa memuat turun aplikasi yang mana kononnya memaparkan kejayaan individu lain yang meraih keuntungan selepas membuat pelaburan.

“Oleh kerana percaya dengan paparan dilihatnya, mangsa membuat pelaburan melalui aplikasi itu dan menerima keuntungan atas modal dilaburkan dalam tempoh tiga hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, malah Raiz Mukhliz berkata, mangsa turut membuat tambahan pelaburan bermula 1 Ogos hingga 19 September lalu selepas tertarik dengan tawaran diberikan.

Jelasnya, dalam tempoh berkenaan, mangsa membuat 28 transaksi ke dalam empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM242,223.

“Selepas itu, mangsa diarahkan membuat pembayaran lagi kononnya mampu mendapat keuntungan lebih tinggi, sebaliknya, dia enggan menuruti arahan itu kerana mula sedar ditipu.

“Sehingga laporan dibuat semalam, mangsa gagal mengeluarkan keuntungan seperti mana dijanjikan suspek.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut. Daripada siasatan dijalankan, mangsa menggunakan wang simpanan untuk tujuan itu,” katanya.

Raiz Mukhliz berkata, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku walaupun polis menjalankan beberapa kempen termasuk di media sosial,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini