SABAK BERNAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan empat warga asing bersama 13 botol air ketum rondaan dalam sebuah bot nelayan tempatan di perairan daerah ini, semalam.
Kesemua warga Myanmar itu ditahan pasukan peronda Maritim Malaysia menerusi rondaan Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 2.0 pada kedudukan kira-kira lapan batu nautika barat daya Tanjung Sauh, di sini, jam 4.55 petang.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, terdahulu pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan aktiviti perikanan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan terbabit dikendalikan empat lelaki berusia antara 26 hingga 41 tahun.
“Selain air ketum, turut ditemui tiga botol cecair dipercayai ubat batuk serta satu beg plastik mengandungi 1.627 kilogram daun ketum segar yang disimpan di dalam petak simpanan ikan yang diletakkan bersama-sama 50 kilogram ikan campur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, kesemua kru, bot dan barang rampasan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952.