KANGAR: Empat lelaki warga Indonesia direman sehingga 10 April hadapan bagi membantu siasatan kecurian wang zakat fitrah berjumlah RM22,000 dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang amil zakat di Kangar pada Rabu lalu.
Suspek dipercayai berusia antara 39 hingga 48 itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Perlis semalam selepas satu laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 63 tahun di Balai Polis Kangar pada hari yang sama.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad ketika dihubungi mengesahkan penangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sumber berkata, kejadian berlaku di Jalan Kangar Jaya 1, di sini sekitar jam 11.25 pagi, ketika mangsa baharu sahaja selesai membeli kipas angin dari sebuah kedai elektrik di lokasi berkenaan.
“Apabila mangsa mendekati kenderaan Toyota Hilux berwarna putih miliknya, dia terkejut apabila melihat cermin pintu sebelah tempat duduk pemandu didapati sudah dipecahkan oleh seseorang.
“Mangsa kemudian memeriksa pelbagai barangan yang diletakkan dalam kenderannya itu dan mendapati wang tunai berjumlah RM22,000 dipercayai wang kutipan zakat fitrah Ramadan tahun ini hilang dipercayai dilarikan.
“Selain itu, dua buku resit kutipan zakat fitrah dan senarai nama asnaf dari sebuah mukim di daerah di Perlis ini juga turut hilang,” katanya.
Sumber berkata, kejadian pecah kenderaan itu bagaimanapun dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai menjual perkakasan rumah dan elektrik di lokasi kejadian.
Susulan itu juga, empat lelaki berjaya diberkas polis di sekitar Perlis dimana suspek bekerja sebagai buruh kontrak dan peniaga baju terpakai atau ‘bundle’.