KUCHING: Empat suspek yang terlibat dalam kejadian menyerang seorang Timbalan Menteri Sarawak ditahan reman empat hari sehingga 8 Jun depan.
Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Safri berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 32 tahun itu ditahan awal pagi semalam susulan laporan yang dibuat oleh Timbalan Menteri terbabit.
“Suspek-suspek terbabit ditahan di kawasan Tabuan Hilir, Samariang, Petra Jaya dan di Jalan Simpang Tiga awal pagi semalam.
“Semasa tangkapan dilakukan, anggota kita turut menyita sebuah kenderaan Jenis Volkswagon berwana putih di Taman Sukma Petra Jaya yang dipercayai dinaiki suspek ketika kejadian terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine manakala seorang lagi suspek positif dadah jenis ganja.
Katanya, semakan terhadap keempat-empat suspek turut mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau serta kes berkaitan dadah.
Dalam kejadian malam Rabu lalu, keempat-empat suspek telah menyerang Timbalan Menteri terbabit selepas tidak berpuas hati ditegur mangsa selepas melihat mereka dalam keadaan mencurigakan di sebuah taman perumahan di Tabuan Jaya.
Akibat serangan terbabit, mangsa yang ingin mengunjungi kediaman keluarganya untuk perayaan Gawai telah mengalami kecederaan calar dan kesakitan bahagian belakang.
Mohd Azman berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, pihaknya percaya telah menyelesaikan kes berkenaan.
“Kes ini akan disisat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Penguam Negara untuk pertuduhan dan perbincaraan di Mahkamah,” katanya.