comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Empat penyamun bertopeng rompak kedai emas 

 


Oleh: Fahiz Ariff

KAJANG: Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak sebuah kedai emas di sebuah kompleks beli belah di sini, hari ini.

Suspek yang turut bersenjatakan tukul besi itu telah menyerbu masuk ke kedai terbabit jam 3:17 petang, lalu memecahkan kaca meja pameran sebelum melarikan hasil rompakan.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman, berkata dalam kejadian itu, suspek turut membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang.

Malah katanya, sebelum suspek melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan, mereka turut melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis.

“Kesemua suspek memakai topeng dan bersarung tangan gelap masuk ke premis di tingkat satu dan terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.

“Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang meneliti pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa orang saksi kejadian turut dipanggil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).

“Jika sabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.” tegasnya.

Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, boleh menghubungi  Pegawai Penyiasat kes iaitu ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini