KUALA LUMPUR: Empat majikan ditahan kerana cuba membuat permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dengan menggunakan dokumen dan maklumat palsu.
Siasatan mendapati permohonan itu membabitkan ratusan orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
Perkara itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur melakukan Operasi Sapu (Op Sapu) pada kelmarin dan semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata empat pemilik syarikat yang ditahan itu terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki.
Kesemua mereka ditahan di premis syarikat masing-masing di sekitar Kuala Lumpur.
“Seorang lagi majikan dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta bagi memberi keterangan lanjut,” kata Wan Mohammed Saupee dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Wan Mohammed Saupee, modus operandi yang dikesan adalah dengan memalsukan dokumen, menggunakan pendaftaran serta alamat syarikat yang tidak wujud.
“Tindakan itu bertujuan mendapatkan kelulusan permohonan ratusan kuota untuk pekerja warga asing yang memohon melalui syarikat mereka dalam Program RTK 2.0,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(k), Akta Imigresen 1959/63 iaitu cubaan memperolehi untuk diri orang lain (pekerja warga asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu.
Katanya, sekiranya didapati bersalah boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara lima hingga 10 tahun dan sebatan tidak lebih enam sebatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.