LIPIS: Dua pembeli dan dua pemilik kandang lembu ditahan disyaki sedang berurusan jual beli 13 lembu curi di Kampung Paya Gunung, Jerantut pada jam 6.30 petang, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, kempat-empat yang ditahan berusia antara 27 hingga 48 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori jenis Isuzu, enam telefon bimbit dan wang tunai RM13,200.
Katanya, dua lagi lelaki sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan dan dibebaskan.
Sebelum kejadian, Azli berkata, pihaknya menerima laporan polis di Balai Polis Koyan jam 2.05 petang daripada seorang lelaki yang menyedari 13 lembunya hilang selepas menemui empat haiwan itu pengsan berdekatan kandang dan dipercayai disuntik dengan ubat pelali.
“Menyedari kejadian itu, pemilik lembu tersebut membuat hebahan dan meminta bantuan daripada kenalannya berkaitan kehilangan lembunya berusia antara satu hingga tiga tahun,” katanya.
Azli berkata, pemilik lembu yang dicuri menerima maklumat daripada seorang kenalan menerusi kumpulan WhatsApp yang memaklumkan ada lembu yang hendak dijual di Jerantut berdasarkan gambar lembu milik mangsa yang disebarkan.
“Pemilik bergegas pergi ke kandang lembu di Jerantut dan didapati haiwan ternakan berkenaan adalah miliknya berdasarkan tanda pada telinga haiwan berkenaan.
“Pemilik lembu tersebut terus ke Balai Polis Jerantut untuk laporan polis berkaitan kehilangan lembunya pada Ahad lalu,” katanya.
Azli berkata, kerugian yang dialami oleh pemilik lembu tersebut dianggarkan kira-kira RM35,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.