PETALING JAYA: Empat bot nelayan warga Vietnam ditahan pada kedudukan 90 hingga 106 batu nautika daripada muara Tok Bali, kerana menceroboh perairan negara Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kesemua tangkapan dilakukan oleh KM JUJUR ketika melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia – Vietnam dalam OP NAGA BARAT, OP KUDA LAUT dan OP DAMAI.
Bot pertama berjaya ditahan pada jam 6.52 petang.
Semasa mengiringi bot nelayan pertama ke jeti tahanan, kapal penguat kuasa telah mengesan tiga lagi bot nelayan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran sekitar jam 9.52 malam sehingga 10.24 malam.
Kesemua bot tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila kapal penguat kuasa memberikan arahan untuk menghentikan bot masing-masing.
Kapal penguat kuasa seterusnya bertindak memintas bot dan melakukan ‘force boarding’ untuk menghentikan bot-bot berkenaan.
Setelah pegawai dan anggota penguat kuasa berjaya menaiki bot, akhirnya mereka mengalah dan akur untuk menghentikan bot mereka.
Tiada sebarang tindakan agresif daripada keempat-empat bot yang ditahan.
Bot yang ditahan masing-masing mempunyai enam orang kru termasuk tekong menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan ialah 24 orang warga Vietnam berumur antara 14 hingga 64 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua bot yang ditahan adalah bot tunda nelayan Vietnam.
Empat bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 1,200 liter dianggaran bernilai RM1.7 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Empat tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel ketika memasuki perairan Malaysia
Kesemua kru disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.