Tumpuan :
Jenayah

Ejen sindiket direman 3 hari akibat cuba sogok polis RM50,000

Seorang ejen sindiket yang cuba menyogok pegawai polis ditahan reman tiga hari. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang ejen sindiket yang cuba menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong terbabit penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan reman tiga hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi terhadap lelaki berusia 25 tahun untuk membantu siasatan.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai baju lokap SPRM tiba di Mahkamah Kota Bharu dengan diiringi oleh pegawai SPRM.

Media sebelum ini melaporkan tindakan ejen sindiket cuba menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong terbabit penyeludupan PATI di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan pada 9 Disember lalu, mengundang padah apabila ditahan polis, 7 Disember lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor berkata, mereka ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan, dijalankan sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini