GEORGETOWN: Tiga individu termasuk sepasang kekasih dicekup polis kerana dipercayai mengedar dadah di pusat hiburan di sini.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan, pasangan kekasih lelaki warga tempatan dan wanita warga asing itu diberkas dalam serbuan pertama berhampiran Persiaran Karpal Singh, jam 7 malam, Khamis lalu.
Artikel berkaitan: Pasangan suami isteri didakwa edar ganja seberat 51.634 kilogram
“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut kemudian menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai Pinang di sini, pada 7.45 malam, hari sama.
“Polis merampas 183 paket dadah disyaki MDMA berjumlah RM64,050, sebelum menahan seorang lagi suspek lelaki warga tempatan di Pulau Tikus, di sini.
“Turut dirampas beberapa paket dadah disyaki MDMA, ketamin dan pil eramin 5,” katanya.
Mengulas lanjut Saravanan berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek berusia antara 20 hingga 31 tahun positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau.
“Dadah berkenaan dipercayai dijual di pusat hiburan dengan harga RM350 sepaket bagi setiap 30 gram.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM102,790 dan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,032 penagih dadah.
“Ketiga-tiga suspek direman sehingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya Perlucuthakan harta 1998,” katanya.