SUBANG JAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendedahkan dua wartawan mengadu kepadanya yang mereka turut diancam oleh pembuli siber sama yang mengugugt pempengaruh media sosial, Rajeswary atau Esha yang ditemukan meninggal dunia di rumahnya, Khamis lalu.
Beliau berkata, kedua-dua wartawan itu melaporkan pembuli siber telah menakut-nakutkan mereka dengan mengambil gambar kediaman dan ahli keluarga mereka.
“Paling mengejutkan ada sekurang-kurangnya dua orang wartawan yang telah menghubungi saya mengadu bahawa orang yang telah buli siber mendiang Esha juga telah menghubungi mereka.
“Dan mereka berasa sangat takut pada waktu itu kerana pembuli siber ini sehingga sanggup mengambil gambar tempat tinggal dan ahli keluarga mereka.
“Jadi, ini adalah ugutan jenayah dan ada dalam kalangan mereka (pembuli) berselindung di sebalik akaun palsu,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pusat Pengalaman Al Celcom Digi di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh Rajeswary, yang juga aktivis ditemui meninggal dunia di rumahnya, Khamis lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Semalam seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary susulan laporan polis daripada seorang pengguna TikTok pada Sabtu lalu.
Laporan dibuat seorang lelaki berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang berhubung ugutan diterima Rajeswary menerusi aplikasi TikTok.
Laporan dibuat terhadap dua akaun TikTok yang didakwa melemparkan fitnah serta ugutan terhadap wanita itu.
Fahmi berkata, isu buli siber yang berlaku sering membabitkan akaun palsu tanpa nama, sekali gus menyukarkan kerja untuk mencari pelaku yang bertanggungjawab.
“Ramai pembuli siber bersembunyi di sebalik akaun palsu, dan tidak mahu namanya disiarkan yang mana menjadikan mereka berani untuk berbuat demikian.
“Pada saya, berani cakap, berani hadap. Jadi jika anda bersembunyi di sebalik akaun palsu, maka ada sesuatu yang tidak kena dan kita perlu perbetulkan ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa