PASIR MAS: Dua lelaki warga Thailand ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) dipercayai memiliki sepucuk pistol dan 25 biji peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Rahmat, Lubok Stol, semalam.
Turut dirampas ialah 164 biji pil Yaba bernilai RM1,640 dalam serbuan yang sama.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata turut berlaku pergelutan antara pihak berkuasa dan suspek berusia 20 an dan 30 an itu menyebabkan anggota mengalami kecederaan di bahagian dahi.
Katanya, bagaimana pun, kesemua barangan berjaya dirampas dan kesemua suspek ditahan untuk diserahkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat mendapati, mereka memiliki senjata api atas alasan untuk mempertahankan keselamatan diri selepas salah seorang suspek pernah ditembak akibat kes dendam beberapa tahun lalu.
“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan sudah menyewa rumah di penempatan berkenaan sejak dua tahun lalu.
“Mereka juga disyaki menyewa kediaman berdekatan Sungai Golok bagi memudahkan urusan penyeludupan dadah melalui jalan sungai dan dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di IPD Pasir Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Mannadzar Nasib.
Mohd Nasaruddin berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960,Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.