comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua wanita termasuk seorang sarat hamil ditahan kerana curi gelang tangan

FOTO: PDRM

ARAU: Dua wanita termasuk seorang yang sarat hamil sembilan bulan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian melarikan gelang tangan di sebuah kedai emas di sini, semalam.

Suspek berasal dari Beseri, Padang Besar berusia 29 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan kurang 24 jam selepas kejadian curi itu berlaku.

Dia ditangkap bersama rakan subahatnya berusia 36 tahun dari Simpang Empat, Kangar yang bertugas sebagai pembantu kantin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.20 petang apabila jurujual kedai emas berkenaan yang berusia 25 tahun didatangi oleh seorang wanita yang ingin membeli barang kemas di kedai itu.

“Suspek kemudian meminta untuk melihat dua utas gelang tangan emas sebelum bertindak mengambil barang kemas itu dan melarikan diri dari premis berkenaan dengan membonceng sebuah motorsikal yang ditunggangi oleh seorang lagi wanita yang sedang menunggu suspek di hadapan kedai emas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Arau semalam oleh pemilik kedai emas itu dengan kerugian dianggarkan bernilai RM45,000.

Siasatan di tempat kejadian dan dengan bantuan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis berjaya menemui kesan cap jari dipercayai milik suspek.

Barang kemas yang dilarikan suspek turut dijumpai semula.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Arau Perlis untuk siasatan lanjut.

Menurut Superitendan Ahmad Mohsin selain dua utas gelang tangan itu, pihaknya turut merampas sebuah motosikal dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

Suspek direman hingga Sabtu ini untuk bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Loading...
Terkini