comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua suspek terjun sungai diburu polis

Pasukan penyelamat memulakan operasi pencarian dua suspek. FOTO: Ihsan Polis

DUNGUN: Operasi mencari dua suspek yang melarikan diri dari polis dengan terjun ke dalam sungai di Jambatan Kuala Dungun, dekat Kampung Pulau Serai diteruskan hari ini.

Ketua Polis Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, pencarian kedua-dua suspek berusia di antara 30 tahun itu dilakukan sepanjang tebing sungai termasuk di kawasan semak.

Menurutnya, tumpuan operasi pencarian dilakukan di sepanjang sungai terbabit kerana kedua-dua suspek dilihat mengapungkan diri dan hanyut menghampiri ke arah tebing sungai.

“Operasi pencarian dilakukan polis dengan mendapat bantuan daripada anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun.

“Keadaan kawasan tepi sungai yang mempunyai banyak laluan membolehkan kedua-dua suspek melarikan diri ke kampung berhampiran,” katanya.

Maizura berkata, keadaan arus yang agak kuat dan paras air sungai yang tinggi menyukarkan usaha pencarian.

“Pihak polis turut melakukan pencarian di beberapa buah kampung di situ yang dilihat berpotensi untuk suspek melarikan diri.

“Polis meminta kerjasama penduduk kampung untuk menghubungi polis sekiranya menemui kedua-dua suspek,” katanya.

Katanya, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang berita yang tidak sahih berhubung dengan kejadian itu.

Dalam kejadian semalam, tiga suspek yang menaiki sebuah lori bertindak melarikan diri sebelum dikejar anggota polis kira-kira 100 kilometer sebelum kenderaan mereka dipintas polis di Jambatan Dungun, kira-kira jam 6.55 pagi.

Seorang daripada suspek berusia 35 tahun yang gagal melarikan diri berjaya diberkas manakala dua lagi bertindak terjun ke dalam sungai.

Pemeriksaan polis menemui kabel milik Telekom Malaysia sepanjang kira-kira 44 meter di dalam lori terbabit dipercayai dicuri suspek.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini