KUALA LUMPUR: Dua remaja warga Laos yang disyaki dijadikan wanita pelayan pelanggan (GRO) diselamatkan pasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, awal pagi tadi.
Operasi dengan kerjasama pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor pada 1.30 pagi.
Menurut sumber, ketika serbuan dilakukan, kebanyakan pelayan dan pelanggan sedang berhibur di dalam premis.
“Seramai 21 individu diperiksa dan pasukan berjaya menyelamatkan dua remaja warga Laos berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
“Hasil pemeriksaan itu, 15 individu termasuk seorang wanita berusia 56 tahun yang dipercayai ‘mummy’ kepada GRO ditahan,” katanya.
Sumber berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam warga Vietnam; Laos (5); Myanmar (2); dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan tempatan yang berusia antara 18 hingga 56 tahun.
“Siasatan awal polis, premis beroperasi sejak tujuh tahun lalu dengan menjalankan perniagaan karaoke dan turut menawarkan pelayan pelanggan wanita warga asing.
“Premis dilengkapi kawalan kamera litar tertutup (CCTV) dan mempunyai beberapa ruang dan bilik rahsia yang dijadikan tempat persembunyian bagi mengelakkan GRO ditangkap,” katanya.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis mempunyai lesen perniagaan namun beroperasi melebihi masa ditetapkan sehingga jam 6 pagi setiap hari.
Sumber berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c); Seksyen 55B; Seksyen 39B serta Seksyen 15 (1) ( c ) Akta Imigresen 1956/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.