Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Polis menahan dua peniaga lelaki yang dipercayai menghalang Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di kawasan Dataran Medan Bandar, di sini pada Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri bin Mat Akhir dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 11.38 malam ketika operasi sitaan peniaga dijalankan di lokasi itu.
“Operasi itu telah dihalang oleh dua individu yg mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan.”
“Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam anggota MBAS yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Jurucakap MBAS dalam pada itu menjelaskan, hebahan mengenai larangan beberapa aktiviti telah dikeluarkan sejak dataran itu dibuka pada Julai 2022.
Larangan itu antara lain melibatkan aktiviti perniagaan trak makanan, jualan but kereta, kenderaan mikromobiliti serta permainan lain.
Notis hebahan itu juga menegaskan tindakan MBAS akan mengambil tindakan kepada peniaga yang tidak mematuhi arahan.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi lebih 2 minit menunjukkan seorang lelaki bertengkar secara agresif bersama beberapa penguatkuasa MBAS.
Visual itu turut merakam seorang lelaki menyerang salah seorang penguatkuasa MBAS, dan berlaku pergelutan sebelum dileraikan beberapa individu di situ.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.