comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Dua penganggur ditahan bersama pil Yaba bernilai RM385,330

KUALA TERENGGANU: Dua penganggur ditahan bersama pil Yaba dianggar bernilai RM385,330 dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kubang Depu, Jerteh, di Besut pada Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, dalam operasi sekitar jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri berjaya menahan kedua- dua suspek berusia 19 dan 31 tahun itu.

Foto: NSTP

“Dalam serbuan pertama, kita merampas 1,760 gram (g) pil Yaba bernilai RM93,50O, sebelum 5,335g pil Yaba bernilai RM291,500 dirampas dalam serbuan kedua.

“Keseluruhan rampasan membabitkan 7,095g pil Yaba dengan nilai RM385,330.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City bernilai RM30,000 serta sebuah motosikal jenis Yahama Y15ZR yang bernilai RM15,000 hasiul serbuan sama,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati dadah dirampas dipercayai boleh digunakan oleh 58,000 penagih dan kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mazli berkata pihaknya menumpaskan tujuh sindiket pengedaran dadah seluruh negeri sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Susulan itu, 18 ahli sindiket ditahan dengan pil Yaba seberat 16,408g, syabu (2,451g), ganja (500g) dan eramin 5 (58.89g) dirampas.

Loading...
Terkini