comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua pelajar perempuan nyaris jadi mangsa culik

Foto hiasan

GERIK: Polis sedang menyiasat dan mempergiatkan rondaan pencegahan jenayah sekitar Kampung Padang di Gerik susulan laporan yang diterima berkaitan dua kejadian cubaan menculik remaja perempuan pada Isnin dan Selasa.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata dua laporan itu diterima hari ini dengan kejadian dikatakan masing-masing berlaku berdekatan kawasan tanah perkuburan Kampung Padang selang sehari iaitu pada kelmarin dan semalam.

Zulkafli berkata, kejadian pertama dikatakan berlaku 6.45 pagi Isnin lalu ketika seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang basikal.

Namun, beliau berkata, kejadian ini gagal apabila wanita dikenali mangsa melihat kejadian itu dan memanggilnya menyebabkan kenderaan dinaiki suspek beredar.

Katanya, kejadian membabitkan sebuah van warna kelabu berhenti di hadapan mangsa manakala sebuah lagi van putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran menghimpit di bahagian tepi sebelah kanan serta mengikuti sehingga ke kawasan tanah perkuburan Kampung Padang.

“Kejadian kedua berlaku jam 3.20 petang semalam ketika seorang lagi remaja perempuan juga berusia 14 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dengan berjalan.

“Insiden itu juga berjaya dipatahkan apabila mangsa diselamatkan sendiri oleh abang kandungnya yang menendang salah seorang suspek, menyebabkan kedua-duanya melarikan diri menggunakan van.

“Mangsa dihimpit oleh sebuah van putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran, sebelum beg sekolahnya ditarik, menyebabkan mangsa diseret oleh dua lelaki tidak dikenali yang menggunakan pelitup muka sehingga terjatuh di kawasan tanah perkuburan Kampung Padang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mengenai kedua-dua laporan sedang dijalankan dan sebagai langkah proaktif, polis sudah menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan sekolah, kampung dan kawasan berpotensi berlakunya kejadian jenayah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan.

Polis turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya memberi lebih perhatian terhadap keselamatan anak-anak dengan menghantar dan mengambil mereka sendiri ketika pergi dan pulang dari sekolah bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini