SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai menggodam papan menu digital sebuah restoran makanan segera di Kuala Langat, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dua lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada pengurus restoran makanan segera itu memaklumkan satu papan menu digital restoran berkenaan digodam.
“Papan menu digital berkenaan berubah imej kepada paparan gambar makanan restoran berkenaan yang memaparkan imej darah, bom, peluru dengan tulisan berkaitan keganasan.
“Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Polis turut merampas telefon bimbit kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman empat hari sehingga 5 November ini dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.