Tumpuan :
Jenayah

Dua lelaki ditahan edar air ketum

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki dan merampas 111 botol berisi cecair disyaki air ketum dalam dua penahanan berasingan di Pandan Jaya dan Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan pertama seorang lelaki berusia 25 tahun yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) menjalankan Op Tapis Khas.

“Pemeriksaan ke atas lelaki terbabit menemui 11 botol plastik yang berisi air ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 8.25 liter.

Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar Ampang dan pihak polis telah berjaya menemui dua lagi botol berisi cecair dipercayai air ketum,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut ke atas suspek kedua kemudian membawa ke sebuah lagi rumah yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan air ketum terbabit.

“Polis menjumpai sebanyak 111 botol berisi air ketum yang disimpan di rumah itu.

“Jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas ialah sebanyak RM1,200.

“Hasil siasatan mendapati semua air ketum yang dirampas adalah untuk edaran kawasan sekitar,” katanya.

Tambahnya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati kedua-duanya negatif selain kedua mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Loading...
Terkini