GUA MUSANG : Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes rusuhan bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Utama Gua Musang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 30-an.
Katanya, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, berlaku perselisihan faham apabila suspek mencuri satu karton air minuman daripada kedai runcit terbabit.
Katanya, kerana tidak berpuas hati akibat dimarahi, suspek memanggil rakannya seramai enam orang untuk menyerang mangsa.
“Enam orang rakan suspek yang bersenjatakan parang, batang besi dan kayu panjang datang menyerang menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
“Selain itu, suspek juga turut merosakkan barangan kedai runcit terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Choon berkata, dua lelaki yang dipercayai suspek utama itu ditangkap kira-kira jam 4.30 petang hari yang sama.
“Polis turut merampas senjata yang digunakan ketika kejadian iaitu sebilah golok, buku lima dan batang cota kayu.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Benzo dan Methamphetamine.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Polis kini sedang untuk mengesan beberapa rakan suspek yang terbabit dalam kejadian itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.