comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua lelaki diberkas selepas menyamun pemandu teksi warga emas

Foto hiasan

KOTA TINGGI: Dua lelaki berusia 30-an berjaya diberkas tidak sampai empat jam selepas menyamun seorang pemandu teksi berusia 70 tahun di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong di Pengerang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superitendan Hussin Zamora berkata mangsa disamun pada jam 4.30 petang semasa dalam perjalanan membawa kedua-dua suspek yang merupakan penumpang dari Gelang Patah di Iskandar Puteri ke Pengerang.

Beliau berkata mangsa diacu pisau lipat di bahagian pinggang dan dipaksa menyerahkan dua telefon bimbit Nokia, wang tunai RM400 serta seutas jam tangan jenama Casio dianggarkan keseluruhan bernilai RM800, sebelum kedua-dua lelaki itu melarikan diri ke kawasan semak.

“Dalam tempoh tidak sampai empat jam selepas kejadian, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi berjaya menangkap mereka di kawasan semak berhampiran tempat kejadian.

“Selain itu, barangan milik mangsa yang disamun berjaya dirampas semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai tatu berbentuk labah-labah dan lipan yang disyaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Hussin berkata kedua-dua lelaki itu juga mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah dengan seorang daripadanya masih dikehendaki dalam kes jenayah di Serendah pada 2022 dan Rawang, Selangor pada 2010.

Katanya mereka direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Loading...
Terkini