comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua lelaki curi kabel ditahan

Kenderaan yang dinaiki dua suspek yang dipercayai mencuri selepas ditahan polis. – Foto NSTP

DUNGUN: Dua lelaki yang disyaki mencuri kabel ditahan selepas kenderaan yang dinaiki suspek dikejar polis, dalam kejadian berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 43 tahun yang berasal dari Seberang Takir itu, ditahan kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, sebelum tangkapan, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun sedang melakukan rondaan di lokasi kejadian.

“Tidak lama selepas itu, anggota polis ternampak seorang lelaki keluar dari kawasan hutan di situ dalam keadaan tergesa-gesa dipercayai memegang peralatan pertukangan.

“Suspek dikatakan masuk ke dalam sebuah kenderaan dan terus bergerak. Anggota polis kemudiannya bertindak mengekori kenderaan suspek,” katanya.

Maizura berkata, menyedari diekori, pemandu kenderaan terbabit dikatakan bertindak memecut kenderaan untuk meloloskan diri namun gagal selepas kenderaan yang dinaiki berjaya dipintas pihak polis.

“Kedua-dua suspek yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Dungun untuk disoal siasat.

“Siasatan lanjut menemui kembali kabel sepanjang kira-kira 650 meter serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel terbabit.

Katanya, jumlah kerugian berhubung dengan kes terbabit masih dalam siasatan dan kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini