comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua ditahan, guna identiti kerabat Diraja Kelantan

Khairul Khuzaini yang dipercayai turut terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan emas sedang dikesan pihak polis. – FOTO: Ihsan Polis

KOTA BHARU: Pemilik kedai emas dan pekerjanya yang dipercayai menggunakan identiti kerabat Diraja Kelantan untuk mengiklankan pelaburan emas ditahan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 42 dan 46 tahun ditahan pada 4 petang.

Terdahulu, katanya, pihaknya menerima laporan Isnin lalu, memaklumkan terdapat beberapa individu menggunakan gambar kerabat Diraja Kelantan bagi merasmikan premis perniagaan emas di Kota Bharu.

“Bagaimanapun, pengesahan yang diperoleh dari pihak Istana Kelantan menyatakan perkara berkenaan sebenarnya adalah tidak benar.

“Sehubungan itu, mereka ditahan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Suspek direman tiga hari bermula 21 sehingga 23 Oktober untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, susulan kes itu pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Khairul Khuzaini Zamsani, 28, yang dipercayai turut terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan emas.

“Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau seperti membabitkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) AMLA 2001.

“Hasil risikan dan siasatan juga mendapati, kumpulan berkenaan menggunakan modus operandi dengan menjalankan aktiviti pelaburan yang meragukan serta menjurus kepada penipuan terhadap orang ramai.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhd Eran Mustapha Amir Shariffudin (JSJK Kelantan) di talian 012-3011852 atau 09-7752200,” katanya.

Loading...
Terkini