Tumpuan :
Jenayah

Dua bot nelayan Vietnam bersama 17 kru ditahan

KUALA TERENGGANU: Dua bot nelayan Vietnam menceroboh perairan Malaysia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot dari Vietnam itu ditahan sekitar 133 dan 134 batu nautika timur laut KualaTerengganu ketika pengoperasian Op Naga Barat dan Kuda Laut dilaksanakan pagi semalam.

Menurutnya, aset Maritim mengesan sebuah bot mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ketika dihampiri mereka bertindak melarikan diri.

Namun kapal beroperasi bertindak pantas memintas bot yang menggunakan nombor pendaftaran asing tersebut sebelum bot-bot itu keluar dari perairan negara.

Kedua-dua bot berkenaan berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati, seramai 7 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 59 tahun gagal mengemukakan dokumen lesen yang sah dan kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

Bot dan kesemua peralatan menangkap ikan termasuk diesel dirampas dianggarkan bernilai RM3 juta.

Manakala semua kru termasuk tekong dihantar ke Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki sebarang lesen dan permit kerja untuk melakukan pengoperasian penangkapan hasil laut di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63.

Loading...
Terkini