Oleh Buletin TV3
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan dua bot nelayan dipercayai bot nelayan asing Vietnam di kedudukan lebih kurang 44.5 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot nelayan asing itu ditahan semasa bot Maritim Malaysia melaksanakan rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di sekitar perairan Terengganu.
Kedua-dua bot ditahan ketika sedang bertambat antara satu sama lain pada 4.30 petang semalam dan dipercayai bot nelayan asing Vietnam dengan nombor pendaftaran iaitu BD 30865 TS dan BD 31223 TS.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit dikendalikan 12 kru termasuk tekong, warga Vietnam berusia antara 21 hingga 63 tahun.
Tekong kedua-dua bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.
Kedua-dua bot, 12 kru serta hasil tangkapan seterusnya ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.