comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua bot, 9 kru warga Indonesia ditahan APMM, ceroboh perairan negara

Antara sembilan kru warga Indonesia yang menaiki dua bot, ditahan Maritim Pulau Pinang, menerusi dua pemeriksaan berasingan di sini kerana menceroboh perairan negara. – FOTO: Ihsan APMM

GEORGETOWN: Dua bot dan sembilan kru warga Indonesia ditahan dalam dua pemeriksaan berasingan di sini, semalam, kerana disyaki menceroboh perairan negara.

Kesemua kru itu ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang ketika melakukan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi.

Pengarah APMM Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan masing-masing ditahan pada kedudukan 45 dan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi, di sini, pada jam 11.40 pagi dan 12.10 tengahari.

Katanya, pemeriksaan pada bot pertama mendapati ia dikendali seramai empat kru manakala lima kru lagi mengendalikan bot kedua.

“Kesemua mereka adalah warganegara Indonesia berusia antara 17 hingga 41 tahun.

“Didapati kedua-dua bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang, Sumatera Utara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Abd Razak, pemeriksaan lanjut juga mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

Sehubungan itu, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kedua-dua bot dan sembilan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserah kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

” APMM akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, boleh hubungi Pusat Operasi APMM Negeri Pulau Pinang menerusi talian 04-2626146 atau MERS 999 bagi maklum balas segera.

Loading...
Terkini