MUAR: Hasrat seorang doktor wanita untuk meraih pulangan lumayan bertukar duka apabila kerugian lebih RM130,000 akibat ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Mangsa berusia 30 tahun pada 24 Mei lalu telah menyertai seminar secara dalam talian yang mana ditawarkan pelbagai pakej pelaburan menjanjikan keuntungan berlipat ganda.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa ditawarkan untuk melabur sebanyak RM138,000 dan dijanjikan keuntungan sebanyak RM5,000 setiap bulan selama dua tahun.
Katanya, akibat teruja dan berminat menyertainya, mangsa pada 4 hingga 6 Julai tahun lalu membuat pembayaran sejumlah itu ke dalam akauan sebuah syarikat secara dalam talian.
“Namun, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM3,676.17 setakat ini. Pada masa sama individu terbabit memberi alasan syarikat mengalami kerugian sekali gus gagal membayar dividen pelaburan berikutnya.
“Sehingga kini mangsa mendakwa belum ada keuntungan diperolehi dan dia mula berasa tertipu lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar 14 November lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.