comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ditipu tawaran kerja sambilan, doktor kerugian lebih RM100,000

Foto hiasan

MUAR: Seorang doktor kerugian lebih RM100,000 akibat terpedaya dengan sindiket menawarkan pekerjaan sambilan tidak wujud.

Mangsa berusia 27 tahun itu didakwa terjebak dengan sindiket terbabit selepas berkenalan dengan individu melalui satu aplikasi sebelum ditawarkan pekerjaan sambilan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa kemudian berhubung dengan individu itu bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pekerjaan ditawarkan.

Katanya, individu terbabit memberitahu mangsa pekerjaan ditawarkan adalah membuat tinjauan mengenai kecekapan tenaga.

“Mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 20 peratus jika menyelesaikan tinjauan menerusi pautan disediakan kepadanya.

“Tertarik dengan pulangan komisyen serta percaya dengan tawaran kerja sambilan itu, mangsa kemudian mendaftar sebagai ejen menerusi laman sesawang.

“Bagi mendapatkan tinjauan ditawarkan, mangsa melakukan 14 transaksi ke dalam lima akaun berbeza berjumlah RM113,086. Melalui paparan laman sesawang yang dimuat turun mangsa menunjukkan perolehan keuntungan sebanyak RM130,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mengeluarkan keuntungan terbabit, namun enggan berbuat demikian kerana mula berasa ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar malam tadi untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa menggunakan wang simpanan untuk menyertai tawaran itu. Buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini