JOHOR BAHRU: Seorang akauntan warga emas kerugian lebih RM2.27 juta selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan mengenai pembelian saham yang diiklankan menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata lelaki tempatan berusia 75 tahun itu membuat laporan polis semalam dan mendakwa dia mula terjerat dengan penipuan terbabit sejak 19 Disember tahun lepas.
“Mesej WhatsApp berkenaan memberi penerangan tentang cara membuat pelaburan dengan turut menjanjikan keuntungan yang lumayan secara mudah dalam masa singkat.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa mengikut arahan dalam mesej dengan memuat turun satu aplikasi selain dia turut mendaftar bank akaun bagi memantau pelaburan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa mula membuat pelaburan menerusi beberapa transaksi bermula bulan lepas sehingga awal bulan ini dengan keseluruhan wang dipindahkan berjumlah lebih RM2.27 juta.
Kumar berkata mangsa kemudian dimaklumkan pihak sindiket bahawa keuntungannya mencapai RM12.9 juta hasil pelaburan dibuat, namun dia diminta membayar komisen RM1.6 juta sebelum boleh mengambil wang keuntungan itu.
“Mangsa enggan membuat pembayaran komisen berkenaan kerana mengesyaki telah ditipu sindiket pelaburan palsu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.– BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.