Tumpuan :
Jenayah

Ditipu sindiket menyamar kakitangan NFCC, pengurus kilang rugi RM1.1 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kilang kerugian RM1.1 juta akibat ditipu sindiket ‘phone scam’ selepas menerima panggilan kononnya dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) pada 19 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pemanggil mendakwa nombor telefon dan akaun bank mangsa digunakan dalam kegiatan pengubahan wang haram di Kuching, Sarawak.

Katanya, mangsa iaitu seorang wanita berusia 55 tahun cuba menafikan pembabitannya dalam kes itu, namun sindiket berjaya memperdaya mangsa untuk mengikut segala arahan yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media Pengarah JSJK Menara KPJ Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur . Foto NSTP

 

“Mangsa memaklumkan dia diarahkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak melalui panggilan telefon kerana kejadian itu kononnya berlaku di sana.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada pegawai dikenali sebagai ‘SI Tony’ yang turut mengarahkan mangsa untuk melaporkan setiap pergerakannya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, semalam.

Tambah Ramli, wanita itu turut menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai ‘Tuan Zaki’ dan diarahkan memindahkan wang miliknya ke akaun yang kononnya untuk tujuan siasatan.

“Sekiranya enggan, mangsa diugut akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. Mangsa juga ditegah menceritakan perkara ini kepada orang lain.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa membuat 34 pindahan wang ke sembilan akaun berbeza bermula 24 September hingga 5 November lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM1.1 juta.

“Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas memberitahu kejadian itu kepada suaminya sebelum membuat satu laporan polis di Perai, Pulau Pinang pada 11 November lalu,” katanya.

Ramli berkata melalui kes ini, dapat dilihat bagaimana pihak sindiket secara berterusan memberi tekanan kepada mangsa melalui arahan untuk melapor diri selain ditegah bercerita kepada orang lain berkaitan kes itu.

“Taktik ini digunakan untuk mengawal mangsa agar terus berada dalam ketakutan dan menyekat mereka dari berfikir secara rasional.

“Mangsa yang gagal berfikir secara rasional akan cenderung untuk mengikut apa juga arahan yang diberikan sehingga akhirnya mengakibatkan kerugian,” katanya.

Tambahnya, masyarakat juga perlu tahu bahawa laporan polis tidak boleh dibuat melalui panggilan telefon dan siasatan juga tidak dijalankan melalui panggilan telefon.

“Sekali lagi kami nasihatkan supaya jangan percaya langsung bahawa pemanggil adalah pegawai polis,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini