KUCHING: Pemandu lori ditahan polis, malam tadi, kerana disyaki memberi komen berbaur ugutan bunuh terhadap penyanyi, Baby Shima di Facebook (FB).
Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Kota Sentosa di sini, pada 9.15 malam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di mahkamah Sibu, hari ini.
“Pada 30 Disember, jam 11.31 malam, polis menerima satu laporan daripada mangsa, seorang artis perempuan bahawa beliau terbaca satu komen yang dibuat oleh suspek tidak dikenali di platform media sosial dengan kenyataan berbaur ugutan dan mengancam keselamatannya.
“Mangsa berada di Sibu ketika ini atas urusan kerja,” katanya.
Zulkipli berkata, polis merampas telefon pintar milik suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli membuat laporan di Balai Polis Sibu, dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pada 30 Disember lalu.
Laporan polis itu dibuat susulan komen seorang pengguna FB supaya Baby Shima berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.
Sementara itu, Zulkipli turut menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam membuat sebarang komen atau memuat naik apa-apa kenyataan di platform media sosial, supaya tidak melampaui batas dan menyalahi undang-undang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.