Tumpuan :
Jenayah

Disyaki bunuh warga emas, 2 individu ditahan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan susulan kematian seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah dekat Taman Sri Skudai, Skudai di sini, semalam.

Tangkapan dua warga tempatan itu dibuat selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah terhadap kematian warga emas yang juga wanita berusia 79 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung penemuan wanita itu jam 7.08 malam.

Beliau berkata, warga tempatan itu ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan bertutup dengan kain batik.

“Siasatan awal mendapati beberapa barang milik mangsa hilang dan dipercayai diambil suspek.

“Pemeriksaan oleh pihak perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Balveer Singh berkata, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas waris mangsa mendapati keterangan yang diberikan meragukan.

Oleh itu, katanya, pihaknya menahan seorang lelaki berusia berusia 51 tahun dan seorang wanita 58 tahun untuk membantu siasatan.

“Kita turut merampas dua telefon bimbit beserta sim kad, pakaian suspek, bantal dan dua cebisan resit pajak gadai.

“Semakan rekod jenayah mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Balveer Singh berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Februari.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini