KOTA KINABALU: Pemilik sebuah restoran kerugian RM23,525 gara-gara ditipu lelaki yang menyamar sebagai penjawat awam dengan membuat tempahan makanan dalam talian.
Individu yang menyamar sebagai ‘Sarjan’ Hafiz daripada Kem Rejimen 507 Askar Wataniah membuat tempahan melalui panggilan telefon sebanyak 150 pek selama tiga hari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, pemilik restoran itu yakin dengan tempahan dalam talian itu lalu bersetuju untuk membekalkan makanan.
Suspek kemudian menawarkan mangsa untuk menjadi orang tengah antara Kem Rejimen Askar Wataniah dengan sebuah syarikat bagi membekalkan makanan segera (RTE) bernilai RM63,000.
“Apabila pemilik restoran (mangsa) bersetuju maka mangsa diminta untuk membuat bayaran deposit sebanyak 50 peratus serta dijanjikan keseluruhan barang akan dihantar ke kedai mangsa.
“Lalu mangsa membuat bayaran sebanyak RM23,525 ke tiga akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek berjanji akan membuat bayaran keseluruhan ketika mengambil makanan serta RTE di kedai mangsa.
Namun katanya, suspek tidak mengambil makanan berkenaan dan barang RTE juga tidak diterima serta suspek gagal dihubungi.
“Mangsa kemudian membuat semakan dengan Kem Rejimen 507 Askar Wataniah mendapati tiada penama Sarjan Hafiz serta program di kem berkenaan.
“Mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, pada 30 Mei lalu,” katanya.
Kalsom berkata, setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak lima laporan polis berkenaan modus operandi itu dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga-peniaga supaya lebih berhati-hati dan memeriksa kesahihan tempahan serta dokumen berkenaan bagi tempahan dalam talian dan jangan mudah terpedaya sehingga melakukan sebarang transaksi wang.