comscore
Tumpuan :
Jenayah

Diperdaya pelaburan tak wujud, pemilik tadika rugi lebih RM1 juta 

Foto hiasan

MELAKA: Seorang pemilik sebuah tadika di Bukit Piatu di sini, kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya lelaki warga asing dalam pelaburan tidak wujud pada bulan lalu.

Mangsa seorang wanita berusia 53 tahun baru 11 hari berkenalan dengan lelaki kononnya warga Taiwan dikenali sebagai Tan Sau Fung selepas akaun Instagramnya ‘ditag’ suspek pada 7 April lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata sejak itu mangsa sering berhubung dengan lelaki itu yang kononnya menetap di Jepun melalui talian Lime dan berkomunikasi secara lisan serta pesanan ringkas hingga menjadi rapat.

“Pada 7 Mei lalu, suspek menawarkan wanita itu melabur dengan membeli barang dalam laman web yang kononnya di Amerika Syarikat.

“Mangsa diminta membeli dulu barang yang hendak dibeli oleh pelanggan sebelum menjual semula kepada pelanggan terbabit dengan mendapat keuntungan 10 peratus bagi setiap barang.

“Akibat terlalu mempercayai suspek, mangsa membuat 28 transaksi secara berperingkat ke enam akaun berbeza berjumlah RM1.064 juta dari 7 hingga 30 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Zainol berkata, selepas membuat pembayaran mangsa kemudian menyemak laman web berkenaan pada 30 Mei lalu dan teruja mendapati jumlah komisen bakal diterimanya berjumlah AS$200,000 (RM923,685.55).

“Mangsa kemudian cuba mengeluarkan wang itu, namun diarahkan membuat bayaran tambahan menyebabkan dia curiga.

“Keesokan harinya mangsa sekali lagi cuba mengakses laman web itu dan terkejut mendapati ia tidak boleh diakses, manakala akaun Instagram suspek juga sudah ditutup sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh,” katanya.

Kes berkenaan disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Zainol berkata, siasatan awal mendapati semua wang dilaburkan mangsa adalah hasil simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarganya.

“Semua transaksi bayaran dibuat secara dalam talian menerusi akaun simpanan mangsa daripada dua bank,” katanya.

Loading...
Terkini