Oleh: Selwam Arjunan
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar sindiket penyelewengan diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah stor haram di tepi Sungai Perai, Sungai Lokan, di sini, petang tadi.
Pengarah KPDN Pulau Pinang Jegan Subramaniam, pihaknya merampas 27,000 liter diesel bernilai lebih RM200,000 dalam serbuan Op Tiris 3.0 itu hasil maklumat dan risikan selama dua bulan lepas.
“Stor haram itu terletak jauh dari jalan utama dan berada di atas tanah bersebelahan dengan Sungai Perai itu dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Pasukan kami terpaksa menggunakan dron untuk membuat pemantauan terlebih dahulu sebelum menyerbu stor tersebut dan menahan empat lelaki tempatan yang berada di situ.
“Pemeriksaan di stor itu, menemui sebuah lori telah diubah suai dengan tangki, lori tangki dan kereta pancuan empat roda yang digunakan untuk menjalankan kegiatan penyelewengan diesel iaitu dua buah lori bertindak membeli bahan api di stesen sekitar kawasan Butterworth sebelum di bawa ke stor tersebut dan dipindahkan ke lori tangki,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Pemeriksaan lanjut menemui 27,000 liter diesel, paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan jual beli minyak diesel dan pelbagai peralatan yang kesemuanya bernilai RM260,800 termasuk tiga buah lori terbabit.
Sindiket itu dipercayai membeli minyak diesel dengan menggunakan lori yang telah diubahsuai sebelum dibawa ke lokasi stor haram tersebut sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan bahan api tersebut sebelum ia dijual di pasaran tempatan.
Kegiatan penyelewengan diesel itu dipercayai berlaku sejak enam bulan lepas dan dipercayai mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan hasil kegiatan tersebut.
“Pihak kami telah membuat pemantauan sejak dua bulan lepas kerana terdapat pergerakan lori termasuk lori tangki ke kawasan stor haram tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket tersebut,” katanya.
Empat lelaki berusia 40 hingga 60-an yang ditahan itu merupakan pekerja sindiket iaitu tiga daripadanya adalah pemandu lori manakala seorang lagi penjaga stor.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.