comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Diculik, kuku diumpil, dirantai kaki dan tangan angkara hutang suami

 

GEORGETOWN: Seorang wanita terpaksa melalui detik sukar apabila diculik, dikurung dan diseksa termasuk kuku diumpil menggunakan jarum selama 10 hari di sebuah rumah, angkara suaminya tidak membayar hutang.

Wanita malang yang juga dicucuh rokok di tangannya, diikat kaki dan tangan dengan rantai besi dan pengikat kabel diselamatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Pulau Pinang dan JSJ Selangor, Ahad lalu.

Foto: NSTP

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, terdahulu seorang lelaki Indonesia membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Selangor mendakwa isterinya yang sedang bercuti di Georgetown, diculik sekumpulan individu tidak dikenali.

Katanya, lelaki berkenaan mendakwa isterinya dikurung dan dicederakan di lokasi yang tidak diketahui dan suspek meminta RM540,000 bagi melepaskan mangsa.

“Bertindak atas maklumat, mangsa diselamatkan dalam Op Scorpion menerusi serbuan terhadap sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, pada jam 5.10 pagi.

“Turut diselamatkan seorang lagi lelaki yang mendakwa dikurung kerana gagal menjelaskan hutang dan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 27 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin (dua dari kanan) menunjukkan kereta suspek kes culik pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. – Foto: NSTP

Kok Chin berkata, susulan itu pada hari yang sama antara jam 6 pagi hingga 10.30 malam, polis menahan 14 suspek disyaki terbabit dalam kes itu.

Katanya, mereka terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita warga tempatan serta dua lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 70 tahun.

“Mereka ditahan di sekitar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor dan ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah selain lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek termasuk dalang berusia 35 tahun direman tujuh hari sehingga 23 September bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Antara yang dirampas ialah empat kereta, telefon bimbit, pengikat kabel (cable tie), jarum, batang besi, rantai besi, getah paip dan wang tunai berjumlah RM4,800.

Menurut Kok Chin, siasatan mendapati pengadu yang bekerja sebagai kontraktor di Malaysia itu berhutang dengan suspek dan sudah menjelaskan RM50,750 menerusi dua transaksi namun mangsa masih tidak dibebaskan.

Katanya, terdapat kesan cedera pada badan kedua-dua mangsa dipercayai akibat didera suspek.

“Terdapat kesan luka pada tangan mangsa dipercayai dicucuh dengan puntung rokok manakala kuku pula diumpil menggunakan jarum selain kaki dan tangan turut diikat menggunakan pengikat kabel serta rantai besi.

“Mereka menggunakan kenderaan yang berlainan bagi membawa mangsa ke Shah Alam supaya pergerakan mereka sukar dikesan.

“Polis masih menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan sindiket along. Hutang perlu dijelaskan, tetapi cara yang dilakukan suspek tidak wajar,” katanya.

Mangsa kini masih dirawat di hospital serta berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain semalam berkata, siasatan mendapati warga asing itu terbabit satu urus niaga namun ia terbengkalai di tengah jalan menyebabkan ahli keluarganya diculik.

Loading...
Terkini