MELAKA: Seorang pelajar tingkatan tiga menjadi mangsa rogol dua lelaki etnik Rohingnya ketika dibawa bersiar-siar menaiki kereta di kawasan Klebang, dekat sini, Jumaat lalu.
Mangsa yang berusia 15 tahun itu ditemui antara jam 2 hingga 3 pagi di sebuah taman permainan di Batu Berendam, dekat sini, oleh rakan-rakan abangnya yang membantu mencari remaja itu selepas mengetahui dia tidak pulang ke rumah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan kejadian dibuat abang mangsa pada hari sama di Balai Polis Batang Tiga.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa yang masih bersekolah keluar dari rumahnya pada 14 September kira-kira jam 2 petang untuk bersiar-siar bersama seorang lelaki Rohingya berusia 14 tahun yang dikenalinya.
“Lelaki itu yang juga suspek pertama membawa mangsa menaiki motosikal sekitar jam 4 petang sebelum bertemu dengan seorang lagi lelaki Rohingya yang dikenali berusia 27 tahun (suspek kedua) di sebuah restoran di Klebang.
“Mereka kemudiannya pergi bersiar-siar dengan menaiki kereta Proton Preve dipandu suspek kedua sebelum mangsa dirogol oleh kedua-dua lelaki itu di dalam kenderaan berkenaan di tepi pantai di kawasan itu.
“Selepas dirogol mangsa ditinggalkan di sebuah taman permainan di kawasan Batu Berendam,” katanya dalam kenyataan.
“Bertindak atas maklumat polis berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek lelaki Rohingya pada hari sama dan direman tujuh hari bermula 15 hingga 21 September ini bagi siasatan lanjut.
“Suspek pertama seorang penganggur dan kedua, peniaga dan mereka turut memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat,” katanya.
Untuk rekod ini kejadian jenayah kedua membabitkan etnik Rohingya yang dilaporkan tahun ini selepas Januari lalu, negeri ini digemparkan dengan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dicabul lelaki Rohingya di Semabok.