CHUKAI: Polis menemui kesan kecederaan seperti gigitan pada tangan kanan kanak-kanak perempuan yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan bapa tiri dalam kejadian di Kampung Jabur Kubur, dekat sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, polis turut menemui kesan kecederaan pada beberapa anggota badan mangsa berusia enam tahun itu.
“Siasatan awal polis menemui kesan seperti gigitan pada tangan mangsa dan kita sedang kenal pasti puncanya.
“Abangnya yang berusia tujuh tahun yang turut dipercayai didera mempunyai kesan kecederaan pada beberapa anggota badan,” katanya.
Hanyan berkata, pihaknya percaya kedua-dua mangsa dipercayai didera berikutan terdapat beberapa kecederaan pada badan mereka.
“Kedua-dua mangsa adalah anak kandung suspek wanita hasil perkahwinan terdahulu dan hasil perkahwinan dengan suspek yang juga suami sekarang, mereka dikurniakan dua anak berusia setahun dan sembilan bulan.
“Kedua-dua bayi itu juga akan dibawa menjalani pemeriksaan untuk melihat sama ada mengalami nasib sama,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua bayi itu kini dijaga oleh keluarga suspek manakala dua mangsa yang dipercayai didera diserahkan kepada bapa kandung mereka oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setakat ini polis merakam keterangan daripada tujuh individu untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.
Hanyan berkata, pihaknya meminta mana-mana individu yang melihat kejadian kedua-dua mangsa didera tampil membantu polis demi keadilan kepada mereka.
Media melaporkan, polis menerima laporan awam yang melihat seorang mangsa disepak dan ditampar pada Sabtu kira-kira jam 5 petang.
Berikutan itu, polis menahan sepasang suami isteri berusia 30 dan 26 tahun.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa