Tumpuan :
Jenayah

Dendam Disyaki Motif Pekerja Kandang Lembu Bunuh Bekas Majikan

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah (tengah) bersama pegawainya menunjukkan foto pelbagai barang kes berkaitan pembunuhan seorang wanita di Labis, Segamat pada 19 Oktober lalu. – FOTO : NSTP

SEGAMAT : Dendam dipercayai motif kes seorang lelaki menetak wanita bekas majikannya sehingga mangsa maut dalam kejadian di Jalan Ladang Sungai Labis, Segamat, di sini.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi Rabu lalu, wanita berusia 35 tahun berkenaan ditetak dengan parang di leher dan beberapa anggota badan oleh lelaki tempatan berusia 45 tahun yang juga bekas pekerja di kandang lembu miliknya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata kejadian dipercayai bermula dengan pertengkaran serta pergaduhan dipercayai disebabkan dendam lama, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

Sebelum insiden berkenaan, katanya, lelaki terbabit sudah dua bulan tidak bekerja di kandang lembu milik mangsa.

“Berlaku pertelingkahan antara mereka sebelum suspek menetak mangsa dengan sebilah parang. Selepas melihat wanita itu berdarah dan cedera parah, dia terus melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap, memiliki satu rekod jenayah dan dua rekod berkaitan dadah. Dia juga menggunakan motosikal Honda yang dilaporkan hilang pada 23 Mac 2020 di sekitar Labis.

“Parang dipercayai digunakan ketika kejadian, seutas rantai emas, seutas tali warna kekuningan, telefon bimbit Vivo biru dan dua unit kamera litar tertutup (CCTV) jenama DG PRO, iaitu antara bahan bukti ketika kejadian, sudah ditemui,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Superintendan Ng Swie Chait.

Menurutnya, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Segamat dengan banguan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Unit K9 IPD Segamat dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Muar.

“Suspek ditahan di sebuah kafe sekitar Labis, kira-kira jam 10 malam pada 21 Oktober lalu. Turut ditahan, seorang lagi lelaki, juga warga tempatan berusia 37 tahun bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 27 Oktober depan,” katanya menasihatkan semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes terbabit. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini