comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dadah RM32 juta, rampasan terbesar di KLIA tahun ini

Zazuli (kiri) menunjukkan kotak yang mengandungi dadah MDMA dianggarkan bernilai RM32 juta. FOTO

SEREMBAN: Guna batu bata untuk mengelirukan pihak berkuasa bagi menyeludup dadah sintetik ‘ringan’ yang dibawa masuk dari Belanda ke negara ini.

Bagaimanapun taktik itu dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang merampas dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarkan bernilai RM32 juta pada 29 Ogos lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, ia merupakan rampasan terbesar yang berjaya dilakukan pihaknya tahun ini di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Difahamkan ini adalah kali kelima cubaan membawa masuk dadah dari negara Belanda dengan menggunakan modus operandi hampir sama oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Taktik sindiket adalah dengan meletakkan pemberat iaitu objek lain bersama dadah bertujuan mengelirukan pihak berkuasa selain mengikrarkan dagangan sebagai barang lain dan menggunakan maklumat palsu pada dokumen penghantaran.

Bagi rampasan kali ini, sindiket menggunakan bata sebagai pemberat kerana dadah jenis berkenaan agak ringan yang mana boleh menimbulkan keraguan pihak berkuasa.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira 6.30 petang 29 Ogos lalu, sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita 36 kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 12 kotak mengandungi bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah berbahaya pelbagai warna dan bentuk disyaki pil ekstasi, dadah jenis MDMA berat kasar 436.2 kilogram (kg).

“Nilai anggaran rampasan adalah RM32 juta. Manakala pemeriksaan ke atas baki 24 kotak menjumpai batu-bata,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Narkotik JKDM Kampung Jijan di sini, hari ini.

Zazuli berkata, modus operandi sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai alatan pertukangan sedangkan di dalamnya terdapat kotak yang mengandungi dadah berbahaya dan batu bata.

“Siasatan awal mendapati dagangan itu diimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir,” katanya.

Loading...
Terkini