comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dadah pelbagai jenis bernilai RM6.94 juta dirampas 

MELAKA: Polis merampas dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM6.94 juta, Sabtu lalu, yang disifatkan rampasan terbesar tahun ini.

Menurut Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah kejayaan itu hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka mengenai kegiatan sindiket pengedaran dadah yang disyaki aktif sejak tahun lalu.

Katanya bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Melaka bersama pasukan Peronda Lebuh Raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman memintas sebuah kereta Volkswagen Passat dipandu lelaki berusia 27 tahun di Kilometer 206 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pada 2.34 petang, Sabtu lalu.

“Lelaki terbabit bersama kereta dibawa ke IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 10.392 kilogram (kg) dianggar bernilai RM342,943 disorok di antara tempat duduk belakang dan but kereta,” katanya pada sidang media di IPK Melaka, hari ini.

Zainol berkata, hasil siasatan, suspek kemudiannya membawa pasukan polis ke sebuah kondominium di Jinjang, Kuala Lumpur pada hari sama.

“Dua lelaki berusia 46 dan 51 tahun ditahan di lokasi berkenaan serta pelbagai dadah termasuk pil ekstasi seberat 67 kg, syabu 26 kg dan 103,700 biji pil erimin 5, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6,604,800 dirampas.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek ditahan di kondominium positif dadah jenis methamphethamine.

“Kedua-duanya turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun lalu dan semua dadah dirampas dipercayai untuk pasaran dalam dan luar negara yang boleh digunakan untuk seramai 508,994 orang penagih.

Selain itu, katanya, sebuah kereta Volkswagen, wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM177,000 turut disita.

“Kejayaan ini adalah rampasan terbesar dan nilai keseluruhan rampasan dadah serta harta yang disita dianggarkan RM7.12 juta.

“Semua individu yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah,” katanya sambil memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan saki baki sindiket.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainol berkata, sepanjang 1 Januari hingga hari ini JSJN Melaka menumpaskan 13 sindiket penyeludupan dadah di negeri ini membabitkan penangkapan 33 lelaki dan tiga wanita.

“Kita juga merampas pelbagai jenis dadah dalam tempoh sama dianggarkan seberat 322.68 kg dan sejumlah 52.61 liter cecair dadah bernilai RM14.32 juta,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini