comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi beg tangan mewah, pemilik kedai kerugian lebih RM145,000 

PETALING JAYA: Menyamar sebagai pelanggan dan berpura-pura ingin membeli beg tangan mewah sebelum mencurinya.

Taktik berkenaan digunakan seorang lelaki berusia 30 tahun yang mensasarkan kedai menjual beg tangan mewah, ketika pekerja sedang mengambil barang di dalam setor.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3.16 petang Jumaat lalu berkaitan kejadian curi dalam kedai di Solaris Dutamas, di sini.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam lebih kurang 10.07 malam 1 November lalu.

“Barangan yang dilaporkan hilang adalah dua buah beg tangan jenama Chanel, sebuah beg tangan jenama Hermes dan sebuah beg jenama Louis Vuitton dengan jumlah kerugian RM145,288.

“Susulan itu pada Sabtu lalu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul membuat beberapa serbuan berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

“Hasil serbuan menahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia lingkungan 28 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Salak Selatan,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Beliau berkata, susulan dari tangkapan yang dilakukan, pihak polis turut merampas sebuah beg tangan jenama Louis Vuitton yang dilaporkan hilang, dua keping kertas resit, sepasang pakaian yang dipakai oleh suspek ketika kejadian serta wang tunai berjumlah RM22,300.

“Selain itu pihak polis turut melakukan serbuan ke atas dua buah premis yang berasingan terletak di Bukit Bintang, yang dipercayai membeli barangan curi yang dijual oleh suspek.

Katanya, modus operandi kes ini didalangi oleh seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Suspek mensasarkan kedai yang menjual beg tangan mewah berjenama. Setelah sesebuah kedai itu dikenal pasti, suspek akan berurusan di kaunter dan meminta pekedai untuk mengambil barangan yang tidak dipamerkan dari dalam setor. Setelah ditinggalkan bersendirian, suspek akan membawa lari kesemua barangan yang diletakkan di atas kaunter,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini