JEMPOL: Seorang penganggur dijatuhi hukuman 10 bulan dan 8 hari serta denda RM3,800 kerana mencuri duit dalam tabung daripada dua buah masjid.
Tertuduh, Muhammad Amirul Syafiq Daud Hamzah, 22 mengaku bersalah.
Keputusan diputuskan oleh Majistret Norhazwani Ishak di Mahkamah Majistret Bahau.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah mencuri wang tunai RM50 dalam tabung milik Masjid Jamek Pekan Bahau kira-kira jam 11.15 malam 11 Jun lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah mencuri wang tunai RM2,000 dalam tabung milik Masjid Jamek Batu Kikir pada jam 1.40 pagi 13 Jun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara lapan hari serta denda RM1,800 dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan tertuduh akan dikenakan hukuman penjara enam bulan lagi.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 10 bulan serta denda RM2,000 dan sekiranya gagal membayar denda tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan lagi.
Pendakwaan kes dikendalikan olehTimbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Ahmad Khairie.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Awal hari ini, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan di Bahau bulan lalu.