comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubit budak dua tahun hingga lebam, pengasuh taska ditahan 

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Seorang pengasuh ditahan kerana disyaki mengasari seorang kanak-kanak lelaki di sebuah taska di Putra Perdana, Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata polis menerima laporan daripada ibu kanak-kanak berusia dua tahun itu jam 4.30 petang semalam mendakwa anaknya dikasari ketika tinggal di taska berkenaan.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke sebuah klinik di Putra Perdana untuk pemeriksaan dan disahkan terdapat kesan lebam pada bahagian paha kanan dipercayai dicubit.

Katanya, susulan laporan itu polis menahan suspek berusia 25 tahun yang juga warga tempatan di tepi jalan Labohan Dagang-Nilai jam 10 pagi tadi.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Kamarul berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis menggesa orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita tidak benar mengenai kejadian sepertimana yang tular di media sosial,” katanya.

Sebelum ini, insiden kejadian itu dikongsi bapa kanak-kanak terbabit di Facebook dan menyatakan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anaknya.

Katanya, beliau menyedari anaknya dikasari selepas mendapati terdapat kesan lebam pada paha mangsa.

“Terima kasih kepada keprihatinan semua pihak yang mendoakan keselamatan anak kami dan berharap tindakan dikenakan ke atas taska berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini