Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup tembakau shisha lebih RM4 juta dipatahkan JKDM

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman menunjukkan barangan rampasan.

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PELABUHAN KLANG: Cubaan menyeludup puluhan ribu kilogram tembakau shisha bernilai RM4.39 juta termasuk cukai berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, 9 Januari lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, kesemua tembakau shisha itu ditemukan dalam satu kontena bersaiz 40 kaki dari Asia Barat dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

“Pada 9 Januari, kami telah buat satu pemeriksaan ke atas sebuah kontena bersaiz 40 kaki dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kontena tersebut mengandungi 3,403 karton disyaki tembakau shisha dan tidak mempunyai permit import.”

Katanya, pihaknya juga menyita sebanyak 20,418 kilogram tembakau berkenaan.

“Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM2.45 juta dan jumlah cukai terlibat sebanyak RM1.94 juta.

Tambahnya, kesemua tembakau shisha berperisa itu untuk kegunaan pasaran dalam negara.

“Satu karton dikatakan dijual dengan harga RM700 dan ada 12 buah kotak”

Dalam kes berasingan, Ahmad Taufik berkata, pihaknya turut menumpaskan cubaan membawa masuk kenderaan yang tidak mempunyai Permit Kelulusan (AP) Khas.

“Pada 7 Januari, dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menahan lima kontena bersaiz 40 kaki dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara.

“Hasil pemeriksaan menemui dagangan disyaki 10 unit kabin van dalam bentuk siap bina (CBU) yang bercat.

“Dagangan itu tidak memiliki kelulusan Permit Kelulusan (AP) Khas daripada MITI dan juga tidak memenuhi syarat untuk diklasifikasikan sebagai Completely Knocked Down (CKD) seperti digariskan dalam Jadual A di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kastam (“Completely Knocked Down” and “Completely Build-Up”) (Takrif No.2) 1988.

“Mereka ini mengikrar dagangan menggunakan kod tarif salah bagi tujuan mengelakkan keperluan mendapatkan AP Khas oleh MITI.”

Katanya, anggaran nilai sitaan sebanyak RM838,915 dengan melibatkan cukai sebanyak RM41,946.

“Kedua-dua kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967”.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini