Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Cubaan seludup syabu guna mesin waffle tumpas – KP Selangor

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SHAH ALAM: Cubaan menyeludup dadah jenis syabu menggunakan mesin ‘waffle baker’ tumpas dalam pemeriksaan di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, modus operandi yang membawa tiga bungkusan syabu dan menyorok bungkusan di dalam mesin waffle bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

Ujarnya, tindakan itu merupakan perbuatan kali keenam selepas yang sebelumnya berjaya melepasi pihak penguat kuasa.

Kejayaan itu juga telah membawa kepada tangkapan dua suspek lelaki pada 1 Mac lalu, jam 6 pagi melalui pintu pelepasan domestik KLIA.

Kedua-dua suspek juga telah membawa ke satu lagi lokasi yang membawa kepada penemuan bekalan dadah seterusnya.

“Kedua-dua suspek telah memandu arah dan pergi ke sebuah rumah di sekitar Kajang dan hasil pemeriksaan telah merampas dadah jenis erimin five, syabu, serta ketamin.

Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek juga tidak menemui sebarang rekod jenayah, bagaimanapun kedua-duanya positif dadah jenis ketamin hasil saringan air kencing.

Menurut Hussien, kesemua nilai rampasan berjumlah RM2.2 juta itu dipercayai digunakan untuk pasaran Sarawak.

Polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM60,000.

Rampasan itu katanya mampu membekalkan kepada 412,264 penagih.

Kesemua suspek telah direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.

Sementara itu, polis Selangor turut menjalankan sebuah lagi serbuan berasingan melibatkan sebuah rumah di Kuala Selangor yang menemui pelbagai jenis dadah yang sama berjumlah RM2.1 juta yang dikatakan untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Serbuan berkenaan telah membawa kepada tangkapan enam suspek terdiri daripada lima lelaki serta seorang wanita tempatan.

Operasi melibatkan kesemua suspek ini turut membawa kepada serbuan di sebuah lagi kediaman di Tanjung Karang.

Secara keseluruhan, kesemua operasi berkenaan telah berjaya melumpuhkan sindiket dadah berjumlah RM6.3 juta dengan nilai sitaan secara keseluruhannya berjumlah lebih RM140,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini